Dalam Al-Quran ni, ada banyak cerita nabi-nabi.. Kalau nak tahu lagi banyak, kenalah baca Al-Quran.
Kata-kata Ustazah Mak Aji itu sangat mengujakan aku yang baru berusia tujuh tahun. Kisah yang ustazah sampaikan sebelum itu, iaitu kisah Nabi Nuh dan Bahteranya sangat-sangat menarik! Sebesar apakah bahtera itu? Macam mana Nabi Nuh boleh kumpulkan semua haiwan berpasang-pasangan untuk naik ke atas bahteranya? Itu sangat menakjubkan. Mengapa pula manusia boleh menjadi lebih bodoh daripada haiwan kerana menolak mentah-mentah ajakan Nabi Nuh? Persoalan-persoalan itu bermain-main di benak kepala tanpa terluah dek tanya.
Aku mesti baca Al-Quran. Mesti dapat baca banyak lagi cerita.
Bisik aku dalam hati. Berkobar-kobar. Sudah tentulah..siapa yang tak suka dihiburkan dengan cerita. Bukan sahaja kanak-kanak yang gemar mendengar cerita. Bahkan orang tua lebih lagi suka mendengar cerita. Jika tidak, masakan kisah-kisah rumahtangga,kahwin-cerai,dan keburukan orang menjadi berita yang laris dan ‘zikir’ kebanyakan besar rakyat kita.
Namun, cita-cita aku untuk ‘membaca buku cerita Al-Quran’ bagai ranap tanpa harapan. Mana mungkin aku membaca cerita jika bahasa ‘buku’ itu tidak aku fahami. Di rumah kami ketika itu tiada Al-Quran terjemahan. Aku jadi sangat-sangat sedih kerana kemahuanku yang memuncak itu tidak tertunai. Hanya ada satu cara sahaja, kataku di dalam hati. Aku mesti beli Al-Quran yang ada maksud itu.
Setelah puas menggunakan segala kekritisan otak kanan dan kiri dan depan belakang, aku dapat satu idea yang aku rasa pasti menjadi. Teruja!
Abah, periksa yang lepas kan angah dapat nombor satu kan… Angah tak nak apa-apa pun.. Angah nak Al-Quran yang ada maksud tu je.. Boleh tak?
Yeay!!!!
Hati aku suka bukan kepalang bila abah setuju dengan ‘cadangan’ hadiah itu. Pada hal sebenarnya, ayah aku tak tanya pun tentang hadiah apa yang aku mahu. Hehehe.
Selepas berjaya memiliki ‘buku ceritabest’ tersebut, aku mula berjinak-jinak membelek helaian ‘buku’ bekulit hijau itu. Masih aku ingat di suatu petang yang hujan turun dengan lebat, aku baring bersama ‘buku’ baru tersebut di atas katil di bilik ibu dan abah.
Mana cerita Nabi Nuh ni….
Aku membuka helaian demi helaian mencari kisah Nabi Nuh.
Tak Jumpa! Gerammmmmm!!!!
Ustazah ni.. kata ada banyak cerita.. Tak ada pun..
Dengan hati yang membungkam, ada secebis geram kepada ustazah kerana ‘menipu’. Aku tatkala itu merasa tertipu yang amat. Bayangan aku sebelum memiliki Al-Quran terjemahan itu, pastilah cerita-cerita seperti dalam buku cerita yang sering aku baca. Tapi ‘buku’ ini penuh dengan tulisan yang bersaiz kecil. Tulisannya pula sangat banyak.
Ustazah Mak Aji, saya dah beli Al-Quran yang ada maksud tu.. Tak ada pun cerita nabi.. saya dah cari dah. Tak ada!
Bersungguh-sungguh aku katakan pada Ustazah Mak Aji yang memang tak ada cerita dalam Al-Quran yang aku beli. Kepada kawan-kawan juga telah aku khabarkan yang aku telah mencari cerita dalam Al-Quran,tapi tak kutemu.
Saya dah beli tau Al-Quran yang ada maksud
(dalam nada menunjuk-nunjuk)Tapi saya cari, tak ada pun cerita yang Ustazah Mak Aji cakap tu
Ada nada nak menunjuk yang aku rajin dan sudah memiliki Al-Quran terjemahan. Maklumlah sifat kanak-kanak..
Ada Amira.. cuba baca dan cari lagi ye. Mesti jumpa.
********************************************************************************************************
Sejak itu, aku tak pernah pun mencari lagi cerita daripada Al-Quran terjemahan itu. Sebab memang aku yakin yang tak ada pun cerita seperti yang aku harapkan. Tetapi, Al-Quran itu sering aku belek dan membaca maksudnya sahaja.
Selepas khatam Al-Quran pada umur sembilan tahun, aku tidak pernah membaca Al-Quran semula melainkan membacanya untuk ujian hafazan, membaca surah yasin, surah Al-Mulk, surah Al-Waqi’ah, dan surah An-Nur iaitu surah-surah amalan favourite yang aku percaya ada kelebihan membacanya. Hal itu berterusan sehingga aku berumur 19 tahun. Selepas berlaku satu peristiwa, aku mula membaca Al-Quran daripada Al-Fatihah,Al-Baqarah,Al-Imran kepada An-nas berserta maksudnya berterusan,inshaAllah sehingga mati.
Maka, sejak itulah baru aku temui ‘cerita-cerita’ yang aku cari semasa umurku tujuh tahun. Dan baru aku mengerti dan fahami yang Al-Quran itu bukan sahaja sebuah buku cerita. Ia bahkan sebuah mukjizat yang hebat.
Terima Kasih Ustazah Mak Aji kerana meninggalkan jawapan yang tepat kepadaku..
Ada Amira.. cuba baca dan cari lagi ye. Mesti jumpa.






