Kesempurnaan ialah suatu sifat yang ramai manusia cari. Si miskin mengimpikan kekayaan, si hodoh mengidamkan kecantikan, si bodoh mencita-citakan kebijaksanaan, si gemuk memimpikan kelangsingan, si pendek mengangankan ketinggian.. dan banyak lagi kesempurnaan yang diimpikan. Hakikatnya, dimanakah agaknya puncak kepada semua kesempurnaan? Adakah si kaya yang cantik, tinggi, dan bijaksana sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi kesempurnaan dalam hidupnya? Mustahil. Lantaran insan sifatnya tidak pernah puas.
Perfection atau kesempurnaan adalah mustahil bagi kita manusia yang bertuhan. Mana mungkin si hamba sempurna bukan? Justeru itu, bagi memaknai kehidupan ini kita tidak diciptakan sendirian. Kita tidak akan mampu untuk hidup berseorangan, kerana sifat kita yang tidak sempurna. Ada juga sesetengah orang yang mengaggap dirinya perfectionist iaitu orang yang berprinsipkan kesempurnaan dalam setiap tindak tanduk dalam kehidupannya. Ini tidak salah, tetapi kadangkala ia membawa kepada masalah. Sifat yang gemar akan kesempurnaan itu bagus, namun sifat itu perlu diatur dengan bijak seiring sifat lapang dada. We are not perfect, but we perfect each other.. Kita tidak sempurna, tetapi kita saling menyempurnakan… Begitulah kehidupan. Seorang suami memerlukan isteri, seorang guru memerlukan murid, seorang penjual memerlukan pembeli, seorang pencerita memerlukan pendengar. Kebodohan manusia yang merasakan diri mereka hebatlah yang menghalang mereka daripada memiliki perkara yang lebih hebat. Setiap manusia mempunyai nilai masing-masing.. Pertemuan kita dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita merupakan sebuah kesempurnaan yang dihadirkan untuk kita.. dalam erti kata bagi menyempurnakan ketidaksempurnaan kita.

Kehidupan ini, jika diperhatikan dan dilihat dengan teliti sebenarnya memberi makna dan pengajaran yang cukup untuk diri kita. Ada perkara atau peristiwa yang kadang-kala berlaku didepan mata kita tanpa kita terlibat untuk menyelesaikannya atau masuk campur walau sedikit. Peristiwa tersebut berlaku seperti wayang yang bermain-main di depan mata. Cuba renungkan kembali, adakah ia sebuah peristiwa untuk mereka yang terlibat sahaja? Jika ya, mengapa mesti berlaku di depan mata kita? Nah, itulah pengajaran buat kita. Itulah sebuah peristiwa bagi melengkapkan kesempurnaan kita..
Pengalaman guru paling hebat.. Namun, adalah mustahil untuk kita mengalami segala jenis peristiwa sebagai guru untuk kita. Lantaran itulah wujudnya manusia di sekeliling kita yang menjadi pelengkap dalam kehidupan ini.