Mengidola Si Gila (Ulang)

Semalam saya menerima sebuah kisah unik yang dikirim ke emel. Tajuknya Orang Gila yang Mendorong Para Waras Merebut Syurga. Tajuknya saja sudah unik bagi saya. Kisahnya amat menyentak akal fikiran waras saya yang membacanya. Orang gila yang amalnya tidak dikira Tuhan mampu menggerakkan si waras mendekati Tuhan. Hebat. Setelah membaca kisah tersebut, sama seperti penulis, saya turut mengidolakan sang gila itu. Masha Allah. Saya kongsikan kisahnya di sini….

Orang Gila yang Mendorong Para Waras Merebut Syurga

***********Orang Gila 1***********
Dua orang gila ini, sudah banyak mengajarku tentang hidup. Di kampungku dulu, ada seorang gila yang kuat berjalan yang jauh. Dari satu pekan ke satu pekan. Dikhabarkan oleh arwah Tok Aki kepadaku, bahawa si dia ini pernah menuntut di luar negara, gila akibat disihir jirannya yang cemburu.

Lama kuperhatikan dia. Wuduknya amat sempurna, tidak setitik terbazir air pili yang ditarik cilik. Solatnya cukup rukun dan ranum, walau tiada satu lafaznya diterima Tuhan. Satu per satu kata-kata Maha Pencipta, diucap dia dengan sebutan sempurna. Lazat.

Hobinya ada dua. Satu, senyum. Dua, berjalan dari pekan ke pekan bagi melawat masjid dan surau. Mungkin dimakbul Dia akan doa ibunya, moga-moga ketidak siuman anaknya itu, mendorong para waras lain sama-sama kmerebut syurga.

Satu hari, tatkala menemani arwah Tok Aki ke kebunnya, demi menengok-nengok ladang diselesai pekerja Indonesia. Sewaktu berbual, azan mengajak kami ke rumah-Nya.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar…”

Mereka bagai si tuli yang bertelinga, dengan parang masih berayun ke sana sini. Tidak mereka sedar nyawanya bila-bila bisa ditarik pergi.

Arwah Tok Aki melangkah beberapa tapak ke arah mereka. Membawa kopiah. Barangkali memberi isyarat supaya berehat ke musolla.

Namun, langkahnya cukup sedepa dua. Terhenti. Sosok sang gila tadi berlarian bahagia, dengan senyum gembira, tangan yang bersepahan terbuai-buai. Melalui lorong ke rumah Dia.

Seorang dari pekerja Tok Aki menghempas parang ke tanah, menjerit,

“SUDDAH… SUDDAH…”

Seorang lagi memandang pada temannya tadi. Dijungkit kepalanya tanda bertanya, kenapa. Dibalas oleh temannya dengan muncung mulut, mengunjuk pada si gila yang berlarian anak.

Tidak semena-mena, bagai ditekan suis, kesemua mereka serentak menyeluk parang pada sarung di pinggang. Ada antara mereka menuju ke motor bersalin pakaian. Ada juga antara mereka mengikat kepala dengan sapu tangan merah yang digelar key, bergaya Awie. Semuanya menuju ke tempat yang satu. Demi kiblat yang dikongsi sejak dulu-dulu.

Sedari itu, waktu kualpakan nikmat Tuhan yang cukup segala, saat kupekakkan telinga pada seru bilal menjemput kita, muncul bayang si gila di depan mata, seolah-olah menampar ke muka.

Tuhan…

Sungguh,

kuidolakan hamba-Mu yang istimewa itu.

Apatah langsung tidak terucap oleh lidahku,

segala pintaku bersalut syahdu,

agar dikurnia ini dan itu.

Kerana…

Betapa malu yang membelenggu.

Cukup kukepinginkan iman sekeras dia,

walau tidak layak kubanding dengannya.

Cukupkan…

Menarik kan kisah ini? Sumber: Sahabat SangPelangi

Allah Maha Adil

Tiada makhluk yang dapat menandingi sifat adil Allah. Saat Dia menarik nikmat akal, simbol darjat manusia, Dia bahkan menganugerah selangit pahala buat hambanya itu. Tahu apa yang saya fikirkan bila membaca kisah itu? Seakan mahu menghitung tinggi manakah pahalanya.

Ya. Sekiranya pahala boleh dilihat secara fizikal, pasti dia menjadi orang yang diagung-agungkan saat ini. Masakan tidak, saat kewajipan atasnya ditarik dek akal yang tinggal suku, dia mengganda pahala dengan beramal dan secara tak langsung ‘mengajak’ orang waras ke rumah Allah. Dua dalam satu. Itu belum dikira saham pahalanya pada setiap sang waras yang hatinya terinspirasi mendekat pada yang Esa angkara si gila.

Subhanallah.. Saya rasa terpukul, kerana saya yang waras ini belum mampu berbuat demikian dengan akal sihat yang dimiliki…
Mohon Allah beri kesempatan kepada kita meraih pahala setinggi si gila dengan akal yang sempurna ini.

Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
(Al A’raf: 179)

Leave a Comment

Filed under Poket Kisah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s