Sekeping pelekat yang tertulis ayat Qursy disua kepada saya. Katanya, bayarlah berapa saja.. tetapi lebih dari 50 sen, sebab tidak baik modal sekiranya kurang. Saya memberinya seringgit. Saat wang bertukar kepada kertas pelekat, dia menadah tangan dikhalayak ramai. Berdoa untuk saya. Ya. Berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan saya dan keluarga.
Terkesima.

Perbualan kami sepanjang hampir satu jam sementara menanti tibanya tren komuter diakhiri dengan doanya buat saya. Terharu walau mungkin doa itu nilainya RM 1 pada dia. Namun tidak ternilai padaku.
Didoakan
Apa mungkin perasaan kita bila tahu ada seseorang yang mendoakan kita? Bahagia? Teruja? Terharu? Apatah lagi orang yang mendoakan itu ialah orang yang tidak kita kenali. Selepas melalui peristiwa itu, ada sesuatu yang mengetuk minda saya untuk berfikir. Mungkinkah ada orang di dunia ini yang sanggup berhabis wang untuk didoakan? Jawapan yang saya temui, sangat ramai orang yang membayar untuk didoakan. Faktor paling utama yang mendorong hal ini ialah mempercayai kemustajaban doa sang pendoa. Ada yang membayar untuk dibacakan doa-doa menyembuhkan, merawat, menguatkan kasih, dan bermacam-macam lagi. Pokoknya bukan itu yang mahu saya bicarakan.
Apa yang saya fikirkan ialah. Sangat ramai yang memerlukan doa dari orang lain. Mengapa ya? Saya tiada jawapannya. Saya sendiri sering meminta ibu bapa dan sahabat-sahabat mendoakan saya. Namun, adakah saya juga mendoakan mereka?
Mendoakan
Kuasa doa itu sangat hebat. Kerana Allah maha mendengar. Sepertimana baiknya memberi daripada menerima begitu jugalah baiknya mendoakan daripada didoakan. Hati kita pasti tenang bila tahu sentiasa ada orang yang mendoakan kita. Namun, untuk rasa tenang itu berkekalan, kita juga harus sedia mendoakan. Dalam hidup saya, ada beberapa orang yang sentiasa dalam kerisauan hati saya. Dan saat saya merisaukan mereka, hanya doa yang saya ada. Sama ada doa saya dimakbulkan atau tidak, saya tidak pernah tahu tentang itu. Apa yang pasti saya merasa lebih tenang bila saya mendoakan.
Saat kita punya ‘mereka’ yang mendoakan kita, masih ramai manusia yang tercari-cari siapa yang mahu mendoakan dirinya. Namun, bagi mereka yang tercari-cari sang pendoa.. Ingatlah bahawa Allah itu amat dekat. Doa sahaja guna hatimu. Doa sahaja guna lidahmu. Dia pasti mendengar.
Alangkah baiknya bila kita sentiasa mendoakan. Awak ada ‘mereka’ yang kekal dalam doa awak? Sama-sama kita mula mendoakan.